REFLEKSI
Alhamdulillah, penulis
menadah tangan ke hadrat Ilahi kerana akhirnya, penulis dapat menyiapkan kerja
kursus ini walaupun pelbagai pengalaman dan cabaran yang dihadapi. Kerja kursus
ini banyak memberikan manfaat kepada penulis. Penulis turut mengahadapi
beberapa cabaran namun langkah-langkah yang sewajarnya telah diambil bagi
menghasilkan kerja kursus ini dengan jayanya.
Penulis berasa teruja
apabila menerima kerja kursus ini daripada pensyarah pembimbing. Di samping
perasaan teruja itu, terselit satu perasaan bimbang untuk menyiapkan tugasan
ini dengan jayanya kerana penulis berasa kurang yakin dengan kemampuan diri
sendiri kerana ini merupakan pengalaman pertama penulis membuat kerja kursus di
peringkat Institut Pendidikan Guru. Penulis berusaha sedaya upaya untuk
membuang perasaan bimbang itu. Penulis sentiasa meminta pertolongan daripada
pensyarah untuk menyiapkan tugasan ini. Segala ajaran dan nasihat yang
dicurahkan sangat membantu penulis dalam melaksanakan tugasan yang diberi.
Selain itu, penulis juga bertanya kepada pelajar-pelajar senior yang telah
berpengalaman dalam melakukan tugasan sebelum ini.
Masalah lain yang penulis hadapi ialah
kekangan masa. Sebagai seorang bakal guru, menguruskan masa merupakan perkara
penting yang harus dikuasai terutamanya jika hendak menyiapkan sesuatu kerja
dalam masa yang telah ditentukan. Masa yang telah diperuntukkan untuk
menyiapkan kerja kursus ini adalah selama sebulan. Masa tersebut sebenarnya
mencukupi, namun tanpa pengurusan masa yang baik, banyak masa berharga telah
terbuang begitu sahaja. Oleh itu, saya telah membahagikan masa untuk membuat
kerja kursus dengan masa untuk berehat dan belajar.
Penulis telah mendapat banyak pengalaman baru
dalam proses melaksanakan kerja kursus ini. Selain itu, penulis juga dapat
mempelajari dan mengulangkaji mata pelajaran ini. Pencarian dan pembacaan yang
dijalankan banyak membantu pemahaman penulis dalam subjek ini. Setiap konsep
dan topik dalam mata pelajaran ini begitu sukar untuk difahami semasa belajar
dalam kuliah. Namun, kerja kursus ini merupakan suatu perkara yang mendorong
penulis untuk lebih giat memahami dan mendalami setiap ilmu dalam subjek ini.
Selain itu, kerja kursus
ini banyak mengajar penulis tentang perkembangan teknologi pada masa sekarang.
Kini, penulis lebih yakin menggunakan teknologi sekarang berbanding dahulu
kerana sebelum ini penulis kurang mengetahui pelbagai kegunaan teknologi.
Melalui kerja kursus ini, penulis akhirnya bijak menggunakan kemudahan
teknologi seperti perisian komputer iaitu Microsoft Word, Microsoft Excel dan
Microsoft PowerPoint.
Tambahan lagi, penulis
kini telah mempunyai blog tersendiri hasil daripada kerja kursus subjek
Kemahiran Belajar. Membuat blog merupakan sebahagian daripada kerja kursus ini.
Penulis meluangkan masa yang lama dalam mereka dan menyiapkan blog serta
memenuhi segala kriteria yang ditekankan oleh pensyarah. Blog tersebut
bertujuan untuk mempamerkan dan berkongsi tentang subjek Kemahiran Belajar. Tugasan
ini amat mencabar kerana ia memerlukan kesabaran, perhatian, teknik dan
pembacaan yang teliti.
Konklusinya, kerja kursus
subjek Kemahiran Belajar begitu rumit pada mulanya namun dengan bimbingan dan
bantuan pensyarah serta rakan-rakan dapat jua tugasan ini disiapkan dengan
jayanya. Tugasan ini menyedarkan penulis akan kepentingan teknologi amnya
kepada masyarakat dan khasnya kepada pendidik. Penulis sebagai bakal tenaga
pengajar pada masa depan kelak seyogianya mempelajari dan menguasai pelbagai
kemudahan teknologi untuk memudahkan pembelajaran mahupun di luar dan dalam
kelas.
0 comments:
Post a Comment